Thursday, 8 December 2011

TEKNOLOGI, BERITA, MAKLUMAT DAN REMAJA

Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat. Maklumat tersebut boleh wujud dalam pelbagai bentuk samada bentuk fizikal contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di dalam kehidupan manusia terutamanya penduduk bandar. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya. Secara dasarnya, teknologi maklumat mahupun berita tidak dapat dipisahkan daripada remaja. Di seluruh dunia, mereka adalah golongan yang paling banyak menggunakan teknologi komunikasi dalam kehidupan seharian.

Remaja pada masa kini sangat berbeza dengan remaja pada zaman ibu bapa kita sekitar tahun 70-an dan 80-an dahulu. Sekarang, mereka lebih terdedah kepada penggunaan teknologi komunikasi yang lebih canggih seperti Facebook (fb), Twitter, Yahoo Messenger(YM), Myspace, dan lain-lain. Setiap hari mereka menggunakan teknologi ini untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Jelas, ia merupakan fenomena kepada remaja dan mereka melayari Internet sekurang-kurangnya dua jam untuk mencari maklumat atau menghabiskan masa senggang yang ada. Mereka bebas meluahkan perasaan di status yang terdapat di laman sosial, memuat turunkan gambar untuk tatapan rakan-rakan dan berkongsi maklumat sesama sendiri.

Seterusnya, remaja pada zaman sekarang mencari alternatif lain untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu isu yang berlaku dalam atau luar negara. “Online newspaper” lebih mendapat sambutan daripada akhbar kompak yang berada di pasaran. Mungkin mereka selesa menggunakan kemudahan yang terdapat di ‘hujung jari’ mereka berbanding pergi ke kedai untuk mendapatkan akhbar atau bahan bacaan yang berkaitan. Mereka lebih memilih untuk melayari Internet berjam-jam lamanya daripada membeli bahan bacaan bercetak yang terdapat di pasaran.

Secara keseluruhannya, teknologi maklumat yang semakin berkembang banyak membantu golongan remaja untuk mencari maklumat atau berita mengenai sesuatu isu yang dipaparkan di media massa. Mereka tidak menerima secara membuta tuli segala maklumat yang diperoleh tetapi memilih maklumat yang benar dan tidak palsu

REMAJA DAN POPULARITI

Facebook, Friendster, MySpace, YouTube dan Twitter antara laman sesawang sosial yang popular dan tidak asing kepada semua golongan lantaran rata-rata masyarakat pelbagai lapisan usia celik teknologi maklumat.

Kemunculan facebook pertama kali diperkenalkan pada 4 Februari 2006 oleh penuntut Harvard University, Mark Zuckerberg yang awalnya hanya untuk penuntut di universiti berkenaan ternyata memberikan fenomena baru di alam siber.

Kini dengan lebih 400 juta pengguna aktif di seluruh dunia, populariti laman sesawang sosial ini terus berkembang pesat dan hampir setiap saat pasti ada pengguna baru mendaftarnya. Jaringannya yang begitu luas menjadikan hubungan semakin mesra, rapat dan dekat.

Begitulah kehebatan facebook yang bukan saja mempunyai ramai ikutan tetapi ada beberapa faktor yang menbawanya kepada kelebihan lain sehingga menyebabkan sebilangan individu taksub dan ada di antara mereka seakan tidak senang duduk jika tidak dapat melayari laman sosial itu.

Kesan positif dan negatif memang nyata dengan penggunaan laman sosial. Ada yang menjadi popular dengan hanya melayari laman sesawang ini. Malah melalui facebook juga mereka mencipta kejayaan seperti menjadi ahli perniagaan kecil-kecilan dan juga menjadi model sambilan. Hanya melalui foto yang dimuat turunkan, mereka mampu mengecapi populariti dalam sekelip mata.

Jika kita lihat muat turun video di laman sosial YouTube lebih banyak kesannya terhadap remaja, sama ada dari sudut positif atau negatif. Contonya seperti penyanyi remaja digilai ramai, Justin Bieber yang bermula di YouTube dan menjadi terkenal apabila komposer Usher melamarkan sebagai artis rakaman. Orang yang bertanggungjawab membawa Bieber ke puncak populariti kini ialah Scooter Braun yang tertarik dengan videonya di YouTube pada 2008.

Selain itu, anak kelahiran Malaysia, Zee Avi atau Izyan Alirahman, mula dikenali di YouTube melalui lagu Kantoi dan kini mengukir nama di luar negara. Begitu juga Yuna yang mula dikenali dengan lagu Yang Sebenarnya juga di YouTube kemudian menjadi artis yang dikagumi di Malaysia. Tidak lupa juga, artis terbaru, Najwa Latif yang kini popular dengan lagu Cinta Muka Buku, lebih dulu popular di YouTube. Gadis asal Johor ini menyanyikan lagu cover version bersama petikan gitarnya berjaya menambat hati peminatnya di laman sesawang YouTube. Walaupun stesen televisyen kita banyak menganjurkan program realiti mencari bakat seperti Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol (MI), One In A Million (OIAM), Mentor dan sebagainya, ia belum cukup meluas untuk mencungkil bakat terpendam yang ada hingga mereka memilih saluran lain seperi di YouTube untuk menunjukkan bakat terpendam mereka.

Jika ada remaja yang berfikiran positif dalam memajukan diri mereka untuk masa depan yang terjamin, tidak kurangnya remaja yang mengejar populariti tanpa memikirkan kesan negatif yang terpaksa ditanggungnya sepanjang hayat. Mengejar populariti melalui memaparkan tubuh badan di laman sesawang semata-mata untuk menunjukkan kepopulariti anatara ahlinya adalah satu tindakan yang tidak bijak.

Kita dibelenggu kehairanan mengapa sesetengah remaja tergamak menyalahgunakan teknologi maklumat (IT) dengan mendedahkan bahagian sulit tubuh untuk tontonan ramai. Baru-baru ini, seorang remaja Melayu yang menggelar dirinya 'Ella' 'menggemparkan' dunia perkongsian fail siber, Kazaa, dengan bersahaja mendedahkan bahagian sulit tubuhnya melalui kamera jaringan.

Tanpa disedarinya, gambar yang hanya dipancarkan untuk orang tertentu telah dirakam seorang pelungsur dan disebarkan secara meluas melalui rangkaian perkongsian fail, Kazaa. Begitulah dahsyatnya apabila penyalahgunaan teknologi kian menjadi masalah meruncing di kalangan belia kita. Sejak kemunculan teknologi Internet 'menguasai' dunia siber, bermacam lelaman 'luah rasa' dan 'dedah tubuh' (exhibitionism) membanjiri trafik jaringan serata dunia.

Jika dulu, di New Orleans wujud pesta yang melibatkan peserta remajanya mendedahkan payu dara untuk mengumpul seberapa banyak kalung manik sebagai tanda populariti, kini segalanya dibuat di alam siber. Mereka hanya menggunakan kamera jaringan yang memancarkan imej terkini dari lokasi di mana ia berada. Sekelip mata, gambar-gambar kurang elok yang merakam bahagian sulit tubuh dipancarkan melalui Internet.

Golongan remaja sewajarnya berusaha untuk belajar menjadi seorang yang bertanggungjawab dan beretika ketika melayari internet. Apa yang terjadi kini sebenarnya untuk kita memahami perilaku yang berada di luar etika dan norma kemasyarakatan yang sering kali dikaitkan dengan golongan remaja ketika berinternet dan hubungannya dengan kehidupan realiti mereka.

PENYEBARAN MAKLUMAT TANPA KAWALAN

     Kebebasan maklumat merupakan penyebaran informasi secara bebas. Ini bermakna penyebaran maklumat dengan tanpa kawalan undang-undang. Pada masa kini, terdapat banyak cara untuk penyebaran maklumat seperti radio, majalah, internet, surat khabar,dan sebagainya.

       Maklumat pula merupakan sumber yang membolehkan kita mengetahui sesuatu perkara atau peristiwa terhadap sesuatu kawasan atau tempat. Di sebabkan kita hanya mampu berada di satu tempat pada satu masa, ia menghalang kita untuk mengetahui kejadian yang berlaku di luar kawasan. Di sebabkan itu, pelbagai kaedah akan digunakan untuk membolehkan maklumat disampaikan kepada dengan cepat dan tepat kepada setiap individu.

       Antara contoh kaedah yang digunakan kini untuk menyampaikan sesuatu maklumat secara tanpa kawalan ialah kebebasan untuk bersuara di laman blog dan laman sosial. Di situ, setiap individu akan menggunakan medium tersebut sebagai tempat untuk menulis segala maklumat atau peristiwa yang berlaku sesuka hati tanpa mengambil diganggu oleh pihak lain. Di laman ini juga, kebebasan hak untuk bersuara oleh setiap individu tidak menghalang mereka daripada menyampaikan maklumat yang mungkin akan menyinggung banyak pihak.
 
     Melalui laman sosial yang kian digilai ramai tidak kira peringkat umur iaitu Facebook (fb)juga turut mengundang masalah penyebaran maklumat tanpa kawalan. Pengguna fb selalunya akan ‘update status’ dan selalunya ‘status’ yang akan di beritahu kepada rakan-rakan yang lain adalah mengenai diri, kehidupan seharian, masalah pencintaan dan juga masalah lain yang sepatutnya menjadi hak peribadi seseorang, tetapi akan disebarkan. Sepatutnya, sebagai belia, kita boleh berfikir secara matang dengan tidak ‘update status’ yang boleh orang lain mengetahui apa yang tidak sepatutnya kerana ia boleh membahayakan diri kita sendiri. Acapkali kita lihat, apabila seseorang itu sedang marah, maka mereka akan menulis di fb dengan pelbagai cacian dan kadang-kala boleh mengundang kepada isu sensitiviti.



     Namun begitu, kita mesti berwaspada dengan kemudahan teknologi ini kerana ianya juga dapat memberikan kesan yang buruk kepada masyarakat. Ini kerana penggunaan tanpa sempadan atau kawalan membolehkan kita melakukan perkara yang baik malah gejala yang buruk juga mudah dilakukan. Contohnya pada masa kini, maklumat-maklumat yang terdapat pada teknologi ini tiada sekatan membuatkan masyarakat menggunakannya dengan cara yang salah.

     Di antara gejala yang berlaku adalah seperti berlakunya kes penipuan, penyelewengan di dalam perniagaan, wujudnya laman web lucah yang sering dilayari dan berlaku hasutan antara pihak berkepentingan serta wujudnya maklumat-maklumat palsu yang dapat memesongkan fikiran masyarakat. Malah banyak lagi perkara yang tidak baik berlaku iaitu seperti fitnah, menghasut dan kadangkala boleh membawa kepada pergaduhan.

     Segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab akan menyalahgunakan sumber ini untuk menyampaikan fitnah atau maklumat palsu kepada orang awam disebabkan oleh rasa tidak puas dan marah. Bermacam-macam bentuk tohmahan dan cacian akan dilontarkan secara terbuka kepada umum tanpa ditapis. Ini akan memberi kesan yang buruk kepada orang ramai dengan memperolehi maklumat yang salah dan ia juga akan mendedahkan budaya yang tidak elok kepada generasi muda melalui video.

        Contohnya, cakera padat digital (DVD) yang mengandungi adegan hubungan seks antara Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan seorang wanita luas disebar di Muar dan Batu Pahat. Si perakam itu merakamkan video seks Dr Chua secara sulit di sebuah hotel dan direkodkan di dalam bentuk DVD serta menyebarkannya secara percuma oleh si penyebar kepada orang ramai untuk berpeluang menonton video seks tentang seseorang ahli pemimpin politik yang terkemuka tempatan. Selain itu, tindakan perakam dan penyebar DVD ini dapat memuaskan hati semua ahli parti pembangkang Dr Chua sebab beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan politik.

     Selain itu, laman web pornografi juga tiada mempunyai sekatan di negara kita. Seperti yang kita tahu, remaja dan belia boleh mengakses laman tersebut tanpa sekatan dan kawalan melainkan di ‘block’ oleh sesetengah pihak. Dengan tersebarnya aktiviti yang tidak bermoral ini, secara tidak langsung ia dapat merosakkan lagi akhlak para belia dan banyak jenayah yang akan berlaku sekiranya benda ini tidak ditanggani seperti jenayah mencabul dan merogol. Jadi dimanakah sekatan dan kawalan yang kerajaan wujudkan? Mengapa laman web sebegini masih lagi boleh dilayari? Itu antara persoalan yang masih lagi tiada punya jawapan.



     Tambahan lagi, maklumat yang tiada kesahihan ini akan merebak dengan pantas disebabkan oleh kecanggihan teknologi seperti penggunaan sistem pesanan ringkas (sms) yang sudah menjadi kebiasaan pada manusia di era kini. Hampir setiap individu menggunakan cara menyebaran maklumat melalui kaedah ini kerana ianya mudah, cepat dan jimat. Maklumat yang dihantar melalui tidak dapat disekat atau dikawal kerana ianya di anggap sebagai privasi setiap individu yang tidak boleh dicabuli oleh sesiapa.


     Contohnya, dalam pilihanraya umum ke-11, pihak pembangkang berkempen menggunakan media alternatif seperti SMS dan laman blog akibat daripada kawalan media aliran perdana oleh kerajaan Barisan Nasional. Pihak pembangkang telah menggunakan SMS untuk menyebarkan ideologi mereka kepada para pengundi supaya menyokong mereka dan berbau perkauman dalam pilihanraya umum. Katanya, SMS tersebut turut meminta penerimanya jangan menyokong calon Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa mereka hanya membantu satu kaum tertentu sahaja. Secara tidak langsung, sms dijadikan alat propaganda untuk kepentingan parti politik tertentu.

     Jika maklumat yang dibaca itu telah disalah-ertikan, ia boleh mendatangkan keburukan kepada keharmonian sejagat. Ini kerana, individu tersebut akan menyebarkan sms yang diterimanya kepada orang lain sepertimana yang dikatakan mesej berantai tanpa diselidikinya dahulu kesahihannya. Oleh itu, maklumat yang di hantar samada benar atau palsu akan tersebar dengan pantas sehingga mampu memporak-porandakan keamanan sesebuah negara jika ianya mempunyai unsur yang negatif.

     Kebebasan bersuara memang tidak boleh dinafikan tetapi biarlah bertempat dan melalui kaedah yang betul. Kemudahan teknologi maklumat kini telah membuatkan segala keperluan dan kehendak kita menjadi lebih mudah ibarat segalanya hanya di hujung jari di dalam evolusi dunia tanpa sempadan. Kita mampu untuk mengetahui setiap perkara yang berlaku di sekeliling dunia hanya dengan berada dirumah melayari internet. Di situ juga, kita dapat menyampaikan pelbagai maklumat untuk diketahui umum tanpa perlu bersusah-payah menggunakan kederat tulang empat kerat.

     Memang penting untuk masyarakat mendedahkan diri dengan internet dan teknologi maklumat. Tetapi perlu diguna secara baik menurut keperluan yang tidak menyalahi undang-undang yang sedia ada. Sebagai manusia yang hidup di zaman serba canggih, kita perlu menjadi lebih proaktif dan dinamik. Setiap kerja yang kita lakukan harus menitikberatkan sifat kelestarian supaya ia tidak memberikan contoh yang buruk kepada generasi muda. Tidak salah untuk kita menyebarkan pelbagai maklumat kepada umum demi membuka minda mereka tetapi setiap maklumat tersebut haruslah sahih dan mempunyai fakta yang kukuh. Jangan jadikan medium ini sebagai tempat untuk melepaskan geram semata-mata tanpa memikirkan mengenai sensitiviti orang lain.


PERBANDINGAN BERITA DAN MAKLUMAT ANTARABANGSA DAN MALAYSIA

Pengaliran maklumat di peringkat antarabangsa dan di dalam Malaysia sebenarnya berbeza dari segi capaian untuk mengakses kepada sumber maklumat tersebut. Realiti pada hari ini, kita boleh mendapati bahawa maklumat mahupun berita di peringkat antarabangsa senang diperolehi samada secara telus atau terang-terangan.

Cuba kita rujuk sahaja kepada pelaporan berita samada di dalam media antarabangsa dan Malaysia dan cuba kita bandingkan. Media antarabangsa seperti di Amerika Syarikat (US), pelapor mereka lebih berani untuk membuat berita walaupun berita tersebut bakal menjatuhkan reputasi dan memalukan ahli politik Negara mereka . Mereka akan berasa bangga sekiranya berjaya mendedahkan kontroversi yang melibatkan pemimpin tersebut. Sebagai contoh, ada media yang dengan beraninya mendedahkan kontroversi skandal seks yang melibatkan bekas Presiden US, Bill Clinton dan juga skandal seks Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.

Berbanding dengan Malaysia, media tempatan seolah-olah memerlukan tapisan untuk menerbitkan berita yang sedemikian kerana sedia termaktub dengan undang-undang dan juga menjaga sensitivity masyarakat. Selain itu, penggunaan ayat ketika melaporkan berita yang melibatkan politik, seolah-olah menyembunyikan kebenaran kerana terpaksa kuasa kawalan dan pemilikan media di atas warga wartawan. Jika kita lihat, media cetak seperti surat khabar Berita Harian, New Straits Times dan sewaktu dengannya, mereka dipercayai adalah satu media yang berada di bawah aliran kerajaan dan berkait dengan UMNO. Akhbar lain yang dipercayai berada di bawah aliran yang sama adalah Utusan Malaysia dan KOSMO. Jika pembaca sedar akan hal ini, dapat mereka lihat di mana pelaporan berita lebih menumpukan kepada apa yang kerajaan lakukan berbanding parti pembangkang. Disebabkan hal demikian, wujud pula akhbar yang mempunyai perspektif bertentangan yang dikuasai di bawah parti politik yang berbeza. Jadi, masyarakat akan mendapat sumber maklumat yang terhad dan hanya focus kepada satu pihak sahaja jika membaca satu jenis akhbar sahaja.

Hal ini ternyata berbeza dengan media antarabangsa di mana mereka tidak berat sebelah dalam melaporkan sebarang maklumat kepada pembaca. Mereka secara terang-terangan memberikan perspektif tanpa perlu rasa bimbang. Mereka juga bebas untuk mengenengahkan apa sahaja isu yang mereka rasa perlu dibangkitkan samada dari pihak kerajaan ataupun dari pihak pembangkang. Walau bagaimanapun, scenario pelaporan berita di Malaysia turut wujud media elektronik yang mengkritik dasar kerajaan contohnya Malaysia Kini. Media ini dipercayai bersifat radikal dan memberikan pelaporan berita yang agak sinis terhadap kerajaan. Mereka membidas kerajaan bukan sahaja melalui pelaporan berita tetapi melalui karikatur yang terdapat di dalam laman tersebut.

Sumber maklumat di antarabangsa juga bebas untuk diperolehi terutama dari segi maklumat yang berbaur lucah (porno) yang selalunya didapati di dalam sumber maklumat seperti majalah. Jika kita sedar, terdapat banyak majalah berbentuk porno yang mengalirkan maklumat yang tidak memberi sebarang manfaat kepada pembacanya. Contohnya, majalah Playboy bebas dijual di pasaran di negara Indonesia dan rakyat mereka bebas untuk membeli majalah tersebut di tempat yang terbuka. Berbeza dengan Malaysia, majalah seperti ini sukar untuk diperolehi namun maklumat sedemikian masih boleh dilayari oleh segenap lapisan umur.

Ciri Internet yang tiada batasan menyebabkan masyarakat boleh mencapai sebarang bentuk maklumat tanpa batasan. Hal ini turut berlaku di Malaysia sendiri. Pelajar sekolah bias memonteng sekolah semata-mata untuk pergi ke kafe sibver dan melayari laman web seperti itu. Malah, turut memuat turun bahan tersebut di dalam telefon bimbit masing-masing. Saya sendiri sedih melihat generasi muda sekarang yang tidak segan silu melakukan aksi terlarang tidak kira di tempat terbuka ataupun di mana-mana sahaja.

Kesimpulannya, walaupun maklumat antarabangsa dengan Malaysia sedikit berbeza namun, perlu diingati bahawa sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk mengakses maklumat iaitu melalui Internet. Kita tidak boleh menyekat kandungan di dalam Internet namun jika kita pandai untuk menggunakannya, kita akan dapat mengelak daripada mendapatkan sumber maklumat yang salah.