Saturday, 29 October 2011

TEKNOLOGI DALAM KEHIDUPAN BELIA

Gajet!! Gajet!! Satu peralatan yang menjadi kegilaan kepada belia masa kini. Ada yang sanggup berlapar hanya untuk memiliki apa yang tercanggih dan terbaru dipasaran. Kehulu kehilir yang pasti di tangan sudah pasti kelihatan gadget yang menjadi keinginan semua belia. Our technology is truly amazing! Satu gadget dapat digunakan untuk mendapatkan dan mengetahui semua berita dan maklumat tanpa sempadan. Dimana, hanya satu butang cukup untuk menghubungkan semua belia di seluruh dunia. Laptop, Telefon pintar, tablet dan pelbagai lagi peralatan canggih ini sedar atau tidak sudah ada dimiliki oleh kita.

Apa yang mampu kita perkatakan jika belia tanpa teknologi? Pelbagai persoalan boleh timbul dari penyataaan ini sama ada dari sudut pandangan yang positif mahupun negatif di kalangan masyarakat masa kini. Jadi, bolehkah belia masa kini hidup tanpa teknologi? Tanpa facebook, twitter, youtube, google dalam mendapatkan berita da maklumat? Apakah kesannya kepada masyarakat dan juga negara jika belia tanpa teknologi? Bagaimana pula kesannya jika belia hidup dengan adanya teknologi? Mengapa perlunya teknologi kepada belia? Sejauhmana pentingnya teknologi kepada belia? Oleh yang demikian kita akan kupas sejauhmana benarnya pernyataan ini. 

Medium yang belia gunakan untuk mendapatkan dan menyebarkan maklumat adalah internet itu sendiri. Teknologi yang semakin pantas dan mudah mampu membuatkan perubahan dalam kehidupan belia masakini, tetapi terdapat juga kesan negative yang mungkin tidak dapat dikawal lagi.
  • Media Massa - Media massa merupakan sumber maklumat yang cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melaluinya, golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat, penyebaran sesuatu maklumat lebih mudah melalui blog-blog dan youtube akan tetapi adakah anda pasti ketepatan berita tersebut?
  • Media Barat adalah punca tersebarnya pengaruh negatif terhadap masyarakat sama ada sosial, budaya, bangsa dan agama. Kes jenayah yang meningkat adalah berpunca dari tiada kawalan dalam mendapatkan informasi.
  • Belia menjadi semakin individualistik dan materialistik. Gaya hidup moden juga menjadikan sebilangan masyarakat mengabaikan sikap kekeluargaan, kejiranan dan bermasyarakat. Sikap kunjung mengunjung dan bertanya khabar sudah dilupakan, perbualan melalui 3g dan sistem pesanan ringkas adalah pengganti kepada semua perhubungan.
Namun begitu, kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga turut menyumbang kepada pelbagai kebaikan dan memberi kesan yang positif seperti :
  • Memperlengkapkan belia-belia yang bakal menjadi pemimpin dengan input-input yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan kesan terhadap bahasa kebangsaan dan budaya nasional.
  • Mendekatkan dunia dengan banyak cara perdagangan yang luas, liberalisasi pasaran, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pergerakan merentas sempadan yang semakin bebas dan rangkaian media global yang merebak.
  • Interaksi antara negara dan masyarakat juga semakin kerap dan melebar berbanding dahulu. Menjadikan teknologi maklumat sebagai medium dan saluran untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Suatu kepastian gajet yang membawa kepada informasi ini penuh dengan kejutan. Apa yang akan ada di masa akan datang masih menjadi tanda Tanya? Peralatan apa dan bagaimana fungsi yang akan menjadi kegilaan belia kelak. Jiwa belia yang masih meronta-ronta akan teknologi memberi peluang kepada pencipta-pencipta peralatan canggih ini mengaut keuntungan. Kepergian Steve Jobs mungkin melambatkan perkembangan gajet baru tetapi syarikat lain menggunakan ia sebagai peluang memperkenalkan produk gajet terbaru mereka.


Thursday, 27 October 2011

PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENYEBARAN MAKLUMAT DAN PROPAGANDA

Penggunaan teknologi yang serba canggih semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di serata dunia. Masyarakat Malaysia juga tidak terkecuali di dalam hal ini. Kemajuan dalam teknologi yang membawa kepada peningkatan penggunaan Internet, telefon mudah alih dan sambungan tanpa wayar juga disebut sebagai media baru yang memudahkan penyaluran maklumat secara cepat dan bebas. Penggunaan teknologi secara meluas telah banyak memberi impak yang besar kepada kehidupan kita. Antara impak penggunaan teknologi yang telah memberi pengaruh yang agak besar kepada kita ialah di dalam penyebaran maklumat dan propaganda. Walaubagaimanapun, ia hanyalah disedari sejak akhir-akhir ini. Mungkinkah masyarakat sudah sedar tentang kemampuan teknologi dalam menyebarkan maklumat dan juga propaganda pihak-pihak tertentu?
                
Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat Malaysia terutamanya golongan yang menggunakan teknologi di dalam kehidupan seharian telah menjadikan teknologi sebagai suatu keperluan dan bukan lagi kehendak di dalam kehidupan. Apatah lagi, penggunaan teknologi bukan sekadar untuk golongan yang sedang belajar atau sudah bekerja, namun ia telah menjadi fenomena kepada kanak-kanak dan juga orang biasa. Penggunaan teknologi ini seterusnya memberi pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Penggunaan komputer, computer riba, gajet-gajet seperti telefon tangan pintar seperti Blackberry, IPhone, ‘tablets’ seperti IPad, Playbook dan Samsung Galaxy Tab dan penggunaan internet telah menjadi kegilaan masyarakat. Selain itu, laman web jaringan social seperti Facebook, Twitter, Myspace, Youtube, blog dan lain-lain lagi telah mewujudkan suatu fenomena yang luar biasa terhadap masyarakat di seluruh dunia. Kewujudan teknologi-teknologi yang mudah atau dikenali sebagai teknologi di hujung jari ini sedikit sebanyak telah membantu dalam kehidupan masyarakat terutamanya di dalam penyebaran maklumat kepada masyarakat. Dan turut diselitkan juga ialah propaganda dari pihak-pihak tertentu untuk masyarakat. Penyebaran maklumat bukan hanya sekadar berita yang berlaku di sekeliling, malah maklumat-maklumat terbaru dan juga yang tertutup juga turut disebarkan sejak adanya teknologi ini. Sistem jaringan Internet yang luas dan laju telah banyak membantu di dalam penyebaran maklumat kepada masyarakat seluruh dunia.
               
Dalam era politik demokrasi dan kebebasan bersuara pada hari ini, dunia siber telah menjadi medan untuk seseorang mengenengahkan pandangan mengenai sesuatu isu bagi mempengaruhi orang lain. Laman web, blog, portal berita Internet, emel, sms, Youtube, Facebook, Twitter dan lain-lain lagi seringkali disebut sebagai media baru. Kewujudan media baru ini telah menamatkan dominasi media cetak dan media elektronik sebagai alat penyebaran fakta yang disusun untuk menyokong satu sudut pandangan. Dalam konteks Negara dan pemerintahan, sudut pandangan ini disebut sebagai ideology pengabsahan (legitimating ideology) dan sebagai contoh di Negara kita ialah ideology yang muncul dengan konsep-konsep mengenai Kontrak Sosial, Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan lain-lain lagi. Dan yang terbaru sekali adalah ideology 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia sekarang. Penyebaran maklumat berkenaan gagasan 1Malaysia ini rancak berjalan di seluruh Negara. Terdapat laman web atau blog tersendiri yang banyak menyalurkan info kepada rakyat berkenaan gagasan 1Malaysia ini. Apatah lagi, penyebaran ideology 1Malaysia turut dilakukan secara maya apabila Perdana Menteri sendiri mempunyai laman ruang Facebook dan Twitter dengan harapan dapat menyebarkan ideology dan propaganda mereka. Hal ini kerana, laman seperti itulah merupakan cara terdekat untuk mendekatkan diri kepada rakyat pada zaman sekarang yang serba maju ini.

 

Tambahan pula, kewujudan teknologi komunikasi telah membuka kepada penyebaran maklumat yang sekaligus membuka peluang untuk suara-suara pembantahan (dissenting voices) di dalam masyarakat untuk mengemukakan sudut pandangan alternative bagi menandingi ideology pengabsahan pemerintah. Sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat banyak laman-laman web dan portal berita internet yang menyediakan idea-idea alternative mengenai hubungan kaum, pembinaan Negara, demokrasi dan lain-lain lagi. Ia banyak disebarkan di ruangan siber ini. Hal ini telah menyebabkan kawalan pemerintah ke atas penyaluran maklumat menjadi terbatas dan penyebaran ideology pengabsahan (legitimating ideology) pemerintah juga semakin kurang berkesan. Ini akan memberikan impak kepada penyebaran propaganda pihak pemerintah. 

Penggunaan blog dan akses kepada portal berita internet telah membuka ruang kepada suara-suara pembantahan dalam masyarakat untuk mempopularkan idea-idea alternative yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas dalam media cetak kerana undang-undang kawalan media cetak yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa. Ia adalah untuk mengelak daripada sekatan-sekatan yang terdapat dalam Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 yang mengawasi media cetak. Oleh itu, kewujudan portal blog seperti Malaysiakini, Malaysia Today dan lain-lain lagi telah menjadi popular kerana idea-idea alternative yang disebarkan. Malaysiakini berlatarbelakangkan cetusan gelombang Reformasi 1998 dan pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan pertarungan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan gabungan parti-parti pembangkang dalam Barisan Alternatif. Walaupun dalam pilihanraya tersebut, BN masih Berjaya mengekalkan penguasaam n majority dua pertiga di Parlimen dan menguasai semua kerajaan negeri kecuali Kelantan dan Terengganu, peristiwa pemecatan, perbicaaraan dan pemenjaraan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi lonjakan kepada wacana demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia. Malaysiakini bersama beberapa laman web reformasi yang telah diwujudkan terlebih dahulu, telah menjadi saluran pemberitaan dan komentar alternative untuk menyampaikan idea-idea pro-demokrasi dan hak asasi manusia. Walaupun pada awalnya ia merupakan berita portal percuma,namun ia telah memulakan perkhidmatan berbayar bermula pada tahun 2002. Namun begitu, jumlah pembaca semakin meningkat bergantung kepada isu dan peristiwa semasa. Semasa kempen pilihan raya kecil Ijok 2007, Malaysiakini mencatat purata jumlah sebanyak 1.3 juta setiap hari dengan 44,000 muat turun video daripada laman tv internetnya.

 

Selain Malaysiakini, Malaysia Today yang diasaskan oleh Raja Petra Kamaruddin pada tahun 2004 juga merupakan salah satu portal berita yang menyediakan idea-idea alternative. Berbeza daripada Malaysiakini, Malaysia Today boleh diakses percuma dan lebih bersifat komentar daripada pemberitaan. Ruangannya yang memuatkan tulisan-tulisan Raja Petra sarat dengan kritikan-kritikan terhadap pemerintah, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa. Selain itu, diakui sendiri oleh Raja Petra, laman web tersebut telah digunakan oleh ahli-ahli politik, terutamanya ahli-ahli politik UMNO, untuk melancarkan serangan peribadi terhadap satu sama lain. Malaysia Today juga pernah mencatat jumlah purata lawatan sebanyak 1.7 juta sehari. Walaubagaimanapun, Raja Petra telah diambil tindakan ISA di mana terdapat tulisan beliau yang dianggap memberikan ancaman kepada negara.
 

Sebenarnya, laman portal berita yang menyediakan idea alternatif ini banyak mempengaruhi masyarakat. Ini dapat dilihat pada pilihan raya umum yang lepas. Kita dapat melihat parti kerajaan kita agak goyah apabila banyak kekalahan yang berlaku. Hal ini sebenarnya menjelaskan, rakyat sudah bersifat terbuka dan tidak hanya menerima ideologi yang disogok oleh pemerintah. Kewujudan teknologi komunikasi atau media baru seperti portal internet berita ini banyak memberikan pandangan baru yang dapat mencelikkan mata rakyat. Teknologi komunikasi yang telah memberi ruang kepada suara-suara pembantahan dalam masyarakat untuk menyuarakan pandangan, sekaligus mempersoalkan ideologi pengabsahan pemerintah dam menyemarakkan amalan demokrasi. Penyiaran tulisan-tulisan berbentuk 'anti-establishment' dalam media baru telah membuka peluang kepada pelbagai kelompok dan kumpulan berkepentingan dalam masyarakat sivil untuk menyuarakan hak mereka dan memastikan kerajaan lebih bersifat responsif terhadap kebajikan mereka. Kesimpulannya, penggunaan teknologi komunikasi banyak memberi pengaruh dan impak kepada masyarakat terutamanya dari sudut penyebaran maklumat dan propaganda dari pihak-pihak tertentu.
               

Tuesday, 18 October 2011

BELIA DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAH MACAM AUR DENGAN TEBING

Belia dan teknologi dah macam aur dengan tebing, susah nak pisahkan dua entiti ni. Zaman serba maju dan canggih macam ni susah nak cari belia yang masih buta teknologi. Sekurang-kurangnya belia sekarangni paling teruk pun ada la hand phone dan akses kepada televisyen/radio. Yang up skit mesti ada internet kan.

Tapi tak guna jugak kalau belia-belia pemangkin masa depan negara ni tak reti guna teknologi-teknologi ni untuk membantu kehidupan seharian. Kalau setakat ada hand phone tapi guna untuk call buah hati ja tak jadi, ye dop?

Okay la, untuk entry kali ini, jom kita berbicara mengenai peristiwa-peristiwa bersejarah yang mana belia-belia kita menggunakan teknologi-teknologi yang sedia ada dengan sangat berkesan. Peristiwa-peristiwa yang dimaksudkan ialah;
  1. Rusuhan di Mesir
  2. Bersih 2.0

RUSUHAN DI MESIR

Teknologi yang diaorang gunakan pulak yang simple je sebenarnya, FB dan Twitter. Tapi sebab cara diaorang gunakan sangat berkesan, teknologi mudah ini dah membantu mereka mencapai matlamat mereka.

Rata-rata kita mesti tahu kan yang masa rusuhan di Mesir tu ramai anak muda Malaysia terperangkap dan tidak boleh pulang ke Malaysia. Dah la tak boleh balik negara sendiri yang aman damai serta indah ini, nak keluarkan diaorang dari sana pun tak boleh sebab takut diapa-apakan oleh para perusuh. 

Blog Ariff melaporkan lebih kurang 20, 000 Malaysian yang terperangkap masa tu. Walaupun media Malaysia yang keadaan terkawal dan rata-rata Malaysian dah pun berjaya mendapatkan perlindungan di kedutaan Malaysia kat sana, tapi masih ada yang terperangkap dan tak tahu nak mintak bantuan dari siapa. Lets face it, Mesir bukan besar USM je yang kalau ada rusuhan semua orang boleh pergi berkumpul dekat satu rendezvous point untuk dapatkan perlindungan. 

Jadi dengan kebijaksanaan diaorang (mestilah bijak, further study kat sana kan), diaorang pun contact kawan-kawan dan saudara kat Malaysia ini through FB untuk inform yang diaorang masih lagi terperangkap dan minta pertolongan dari sapa-sapa yang boleh membantu. Bloggers kat Malaysia ni pulak memang terbukti handal dalam menyampaikan maklumat selain daripada media perdana yang dah berapa puluh tahun menjadi suara rasmi kerajaan (tak cakap sapa-sapa). Jadi bloggers ni semua pun buat la entry dan linkkan sekali twitter PM kita. So bila orang lain retweet benda ni, PM punya twitter turut ditweetkan.

Jadi apabila perkara ni dah disampaikan kepada rakyat jelata, maka bertempiklah Mak Som dan Kak Jah di kampung kerana anak daranya terperangkap di Mesir tu lagi. Apa lagi, Mak Som dan Kak Jah pun hubungi la media perdana dan setelah menebalkan make-up di muka maka merataplah mereka di depan segenap rakyat Malaysia dan meminta jasa baik kerajaan untuk bawak anak dara diaorang pulang.

Akhirnya kerajaan dengan bantuan Tabung Haji dan juga Air Asia antara lainnya pun bersetujulah untuk menerbangkan Malaysians ni semua pulang. Jadi, anak dara Mak Som dan Kak Jah pun selamatlah tiba di Malaysia lantas terus menyatakan rasa untung dan syukur kerana mempunyai kerajaan yang prihatin dalam slot Berita Perdana yang ditayangkan setiap jam 9 malam.


BERSIH 2.0


Cerita Bersih 2.0 ni pulak bukan prequel Nasi Lemak 2.0 tapi satu perhimpunan yang menuntut satu pilihan raya yang bersih. Dapat atau tidak, sama-sama kita tunggu PRU 13 nanti!

Sejak awal lagi, kerajaan dah haramkan perhimpunan Bersih 2.0 ni. Malah individu yang memakai baju kuning (warna rasmi Bersih) dan kelihatan cuba menyebarkan kebersihan turut ditangkap. Kerajaan juga awal-awal lagi dah berfatwa bahawa mereka yang menyertai perhimpunan ini akan ditangkap.

Tapi penggunaan media baru yang biijak terutama sekali pastinya dari golongan belia ini yang sudah sejak awal-awal lagi berkempen telah menarik perhatian warga Malaysia untuk menyertai perhimpunan ini, termasuklah golongan yang dah ada anak belia sendiri.

Promosi-promosi dalam alam maya, seperti penggunaan blog, FB dan twitter tanpa henti telah menarik minat orang ramai. Walaupun kerajaan menegah perhimpunan ini dan amaran seringkali dilaungkan terutamanya dalam berita-berita perdana dan juga akhbar harian, tetapi sambutan diberi tetap menggalakkan. Malahan, FB page Bersih 2.0 turut dicipta untuk memudahkan komunikasi dikalangan peserta dan penganjur.

2-3 hari sebelum 9 Julai 2011 dimana tarikh Bersih 2.0 akan diadakan, Kuala Lumpur telah mengalami kesesakan yang melampau kerana sekatan jalan raya telah dilakukan di beberapa kawasan untuk menangkap suspek-suspek yang dikatakan dalang Bersih 2.0 dan juga peserta perhimpunan ini.

Walau bagaimanapun, perhimpunan itu turut berlansung walaupun berlaku sedikit kekecohan setelah pihak polis mengarahkan perhimpunan itu dihentikan. Walaupun kerajaan mengatakan Bersih 2.0 dikawal secara aman dan tiada kekerasan, dan media perdana juga menayangkan orang yang ditahan diberi makan dan layanan mesra tetapi silalah layari Youtube dan tanyalah lebai Google untuk mendapat maklumat sepenuhnya.

PENUTUP

Sebenarnya, kita belia ini memang menggunakan teknologi dan juga media baru secara kerap dan boleh kita katakan tanpa kita sedari. Cumanya, adakah kita menggunakannya untuk mendapatkan manfaat ataupun sebaliknya?

PENGENALAN TEKNOLOGI DAN BERITA/ MAKLUMAT

Berita adalah kejadian atau peristiwa yang berlaku di sesuatu kawasan manakala teknologi maklumat pula sebagai perantara untuk masyarakat mengetahui akan berita tersebut. Segala peristiwa yang berlaku di sekeliling dunia kini merupakan perkara penting yang perlu diketahui oleh manusia sejagat. Teknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020. Teknologi dapat didefinisikan sebagai ilmu berkaitan perindustrian dan sains gunaan yang mempunyai nilai ekonomi. 

Manakala,teknologi komunikasi pula adalah sistem elektronik yang digunakan untuk berkomunikasi antara individu atau sekumpulan manusia. Teknologi komunikasi memudahkan komunikasi antara individu atau sekumpulan manusia yang tidak bertemu secara fizikal di lokasi yang sama. Contoh teknologi komunikasi ialah telefon, faks, radio, televisyen, internet dan lain-lain lagi.


Menyedari bidang teknologi informasi hari ini yang merupakan satu medium berkesan dalam aspek penyampaian maklumat, pelbagai pihak dan juga masyarakat massa sentiasa peka dan berusaha untuk mempertingkatkan lagi cara dan keberkesanan penggunaan teknologi maklumat yang semakin meluas. Kecanggihan teknologi kini menjadikan dunia tanpa batasan di mana setiap individu mampu mengetahui segala kejadian yang berlaku di luar kawasan setempat dalam jangka masa yang singkat bahkan di luar negara juga. Di sebabkan itu, wujudlah teknologi maklumat seperti internet dan satelit yang berperanan untuk menyampaikan berita kepada masyarakat. Teknologi maklumat ini menjadi titk permulaaan yang penting di dalam medium penyampaian berita kerana ia telah memberi kemudahan kepada banyak pihak untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih bersungguh. 

Dahulu, kegunaan teknologi adalah terhad disebabkan oleh kurangnya pendedahan untuk mencipta inovasi terbaru. Antara teknologi awal yang digunakan pada masa dahulu adalah radio dan televisyen. Ia merupakan antara sumber berita yang penting pada masa itu bagi membolehkan masyarakat mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di sekeling dalam masa yang cepat berbanding menantikan berita di surat khabar. Penciptaan radio dan televisyen memberi impak yang besar kepada manusia kerana ia telah mengubah cara pemikiran masyarakat yang pada awalnya ibarat katak di bawah tempurung tanpa mempedulikan hal-hal yang berlaku di sekeliling secara amnya.

Kini, dengan peredaran zaman yang serba moden membuatkan penciptaan teknologi menjadi semakin canggih. Contohnya, teknologi maklumat yang digunakan dengan meluas oleh masyarakat kini untuk mendapatkan berita dengan cepat dan mudah ialah blog, jurnal atas talian dan berita atas talian di mana kesemua ini boleh di akses menggunakan internet samada di rumah atau di kawasan yang mempunyai sambungan internet. Sarjana komunikasi mempunyai pelbagai pendapat tentang perkara baru di dalam media baru. Contohnya, sarjana Bolter dan Grusin (di dalam Flew,T. , 2005, 4) yang menyatakan media baru terhasil daripada proses ‘meminjam’ atau ‘fesyen semula’ media lama ke dalam bentuk media baru. Contoh yang dapat dilihat adalah seperti membaca surat khabar iaitu daripada teknologi lama, maka apabila direvolusikan kepada media teknologi baru, maka berita yang terkandung dalam surat khabar tersebut boleh di ketahui dan dilihat hanya melalui internet sebagai medium teknologi baru yang sememangnya menyediakan berita dalam talian.


Portal-portal yang wujud juga ada kelemahannya di mana kebanyakan berita yang dikemukakan adalah berkenaan politik dan ini menyebabkan isu lain agak terabai contohnya isu berkaitan pembangunan dan sosial yang penting kepada rakyat. Selain itu, perbezaan maklumat yang dikemukakan oleh portal yang berbeza mengenai sesuatu isu, boleh mengelirukan masyarakat. Masyarakat perlulah menilai secara kritis sebelum mempercayai sesuatu maklumat yang dikemukakan.
  
Di samping itu, terdapat juga laman sesawang yang menyediakan video rakaman kejadian yang berlaku boleh juga dijadikan sumber berita di mana ia boleh di akses pada bila-bila masa mengikut kehendak individu berulang kali tanpa had. Ia menjadikan teknologi maklumat kini lebih efisyen dan mudah dikendalikan oleh semua lapisan masyarakat.

Fungsi teknologi maklumat dicipta adalah untuk menyampaikan berita dan isu-isu semasa kepada masyarakat di pelusuk dunia. Perbezaan antara teknologi dahulu dan kini adalah bergantung kepada faktor masa dan kesesuaian keadaan. Dari segi masa, penyampaian berita dahulu yang menggunakan radio dan televisyen perlu melalui proses yang lambat sebelum berita tersebut dapat di pertontonkan kepada umum. Masyarakat perlu menunggu masa-masa tertentu di mana berita akan disiarkan dan ia pula hanya boleh di dapati di sesetengah kawasan. Selebihnya masyarakat akan menunggu surat khabar yang dijual pada keesokan hari seperti yang dipraktikkan sehingga hari ini.

Faktor lain yang membezakan keberkesanan teknologi maklumat kini berbanding dahulu adalah dari segi kesesuaian keadaan. Dahulu,tidak semua individu mampu memiliki radio disebabkan oleh kemiskinan apatah lagi mempunyai televisyen. Penyebaran berita pada masa itu terhad dan tidak berleluasa seperti pada zaman sekarang di mana segala kemudahan telah disediakan. Di sebabkan kekurangan ini, masyarakat perlu berkongsi akan segala sumber yang ada hanya untuk mendapatkan berita terkini. Kini, kecanggihan arus permodenan telah membuatkan masyarakat mampu menikmati hidup yang lebih selesa di mana mereka boleh mendapatkan segala berita dan maklumat terkini dalam masa yang singkat dan mudah. Menerusi internet, kita dapat mengetahui pelbagai maklumat yang pelbagai tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu sahaja.

Dengan kecanggihan teknologi maklumat kini seperti ipod, komputer riba dan telefon mudah alih pintar telah membuatkan masyarakat lebih mudah untuk memperolehi berita dalam keadaan yang selesa dan cepat. Hanya dengan melayari ke laman sesawang berita atau blog, segala isu-isu terkini yang terjadi di seluruh dunia dapat di ketahui tanpa perlu menghadirkan diri ke tempat kejadian. Laman-laman sesawang yang terdapat di internet pula akan sentiasa dikemaskini oleh pihak tertentu supaya berita yang akan dihebahkan pada umum tidak menjadi basi dan lapuk di sebabkan oleh masa yang kini bergerak semakin pantas.

Banyak faedah yang masyarakat dapat perolehi daripada teknologi maklumat sebagai sumber untuk mendapatkan berita terkini namum ada juga segelintir individu yang menggunakan medium ini sebagai tempat untuk mencetuskan kontroversi demi kepentingan diri sendiri. Namun, masyarakat sekarang semakin bijak untuk menilai samada sesuatu berita yang disampaikan itu adalah benar atau tohmahan. Di sinilah pentingnya integriti dalam diri setiap individu yang ingin membuat liputan mengenai sesuatu berita supaya tidak memesongkan sebarang fakta demi keharmonian masyarakat sejagat.

Kesimpulannya, banyak kelebihan yang telah dinikmati oleh masyarakat kini berbanding dahulu di mana dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat telah menjadikan kehidupan ini ibarat dunia tanpa sempadan dan segalanya hanya di hujung jari. Sebagai seorang individu yang berintegriti dan efisyen haruslah menggunakan segala kemudahan yang diperolehi kini dengan baik demi menjamin masa depan manusia sejagat yang harmoni.

Seterusnya, isu yang akan di bincangkan dalam blog ini adalah berkaitan teknologi seperti penggunaan Twitter, Facebook dan blog dikalangan belia.