Penggunaan teknologi yang serba canggih semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat di serata dunia. Masyarakat Malaysia juga tidak terkecuali di dalam hal ini. Kemajuan dalam teknologi yang membawa kepada peningkatan penggunaan Internet, telefon mudah alih dan sambungan tanpa wayar juga disebut sebagai media baru yang memudahkan penyaluran maklumat secara cepat dan bebas. Penggunaan teknologi secara meluas telah banyak memberi impak yang besar kepada kehidupan kita. Antara impak penggunaan teknologi yang telah memberi pengaruh yang agak besar kepada kita ialah di dalam penyebaran maklumat dan propaganda. Walaubagaimanapun, ia hanyalah disedari sejak akhir-akhir ini. Mungkinkah masyarakat sudah sedar tentang kemampuan teknologi dalam menyebarkan maklumat dan juga propaganda pihak-pihak tertentu?
Tidak dapat dinafikan lagi, masyarakat Malaysia terutamanya golongan yang menggunakan teknologi di dalam kehidupan seharian telah menjadikan teknologi sebagai suatu keperluan dan bukan lagi kehendak di dalam kehidupan. Apatah lagi, penggunaan teknologi bukan sekadar untuk golongan yang sedang belajar atau sudah bekerja, namun ia telah menjadi fenomena kepada kanak-kanak dan juga orang biasa. Penggunaan teknologi ini seterusnya memberi pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Penggunaan komputer, computer riba, gajet-gajet seperti telefon tangan pintar seperti Blackberry, IPhone, ‘tablets’ seperti IPad, Playbook dan Samsung Galaxy Tab dan penggunaan internet telah menjadi kegilaan masyarakat. Selain itu, laman web jaringan social seperti Facebook, Twitter, Myspace, Youtube, blog dan lain-lain lagi telah mewujudkan suatu fenomena yang luar biasa terhadap masyarakat di seluruh dunia. Kewujudan teknologi-teknologi yang mudah atau dikenali sebagai teknologi di hujung jari ini sedikit sebanyak telah membantu dalam kehidupan masyarakat terutamanya di dalam penyebaran maklumat kepada masyarakat. Dan turut diselitkan juga ialah propaganda dari pihak-pihak tertentu untuk masyarakat. Penyebaran maklumat bukan hanya sekadar berita yang berlaku di sekeliling, malah maklumat-maklumat terbaru dan juga yang tertutup juga turut disebarkan sejak adanya teknologi ini. Sistem jaringan Internet yang luas dan laju telah banyak membantu di dalam penyebaran maklumat kepada masyarakat seluruh dunia.
Dalam era politik demokrasi dan kebebasan bersuara pada hari ini, dunia siber telah menjadi medan untuk seseorang mengenengahkan pandangan mengenai sesuatu isu bagi mempengaruhi orang lain. Laman web, blog, portal berita Internet, emel, sms, Youtube, Facebook, Twitter dan lain-lain lagi seringkali disebut sebagai media baru. Kewujudan media baru ini telah menamatkan dominasi media cetak dan media elektronik sebagai alat penyebaran fakta yang disusun untuk menyokong satu sudut pandangan. Dalam konteks Negara dan pemerintahan, sudut pandangan ini disebut sebagai ideology pengabsahan (legitimating ideology) dan sebagai contoh di Negara kita ialah ideology yang muncul dengan konsep-konsep mengenai Kontrak Sosial, Rukunegara, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan lain-lain lagi. Dan yang terbaru sekali adalah ideology 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia sekarang. Penyebaran maklumat berkenaan gagasan 1Malaysia ini rancak berjalan di seluruh Negara. Terdapat laman web atau blog tersendiri yang banyak menyalurkan info kepada rakyat berkenaan gagasan 1Malaysia ini. Apatah lagi, penyebaran ideology 1Malaysia turut dilakukan secara maya apabila Perdana Menteri sendiri mempunyai laman ruang Facebook dan Twitter dengan harapan dapat menyebarkan ideology dan propaganda mereka. Hal ini kerana, laman seperti itulah merupakan cara terdekat untuk mendekatkan diri kepada rakyat pada zaman sekarang yang serba maju ini.
Tambahan pula, kewujudan teknologi komunikasi telah membuka kepada penyebaran maklumat yang sekaligus membuka peluang untuk suara-suara pembantahan (dissenting voices) di dalam masyarakat untuk mengemukakan sudut pandangan alternative bagi menandingi ideology pengabsahan pemerintah. Sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat banyak laman-laman web dan portal berita internet yang menyediakan idea-idea alternative mengenai hubungan kaum, pembinaan Negara, demokrasi dan lain-lain lagi. Ia banyak disebarkan di ruangan siber ini. Hal ini telah menyebabkan kawalan pemerintah ke atas penyaluran maklumat menjadi terbatas dan penyebaran ideology pengabsahan (legitimating ideology) pemerintah juga semakin kurang berkesan. Ini akan memberikan impak kepada penyebaran propaganda pihak pemerintah.
Penggunaan blog dan akses kepada portal berita internet telah membuka ruang kepada suara-suara pembantahan dalam masyarakat untuk mempopularkan idea-idea alternative yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas dalam media cetak kerana undang-undang kawalan media cetak yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa. Ia adalah untuk mengelak daripada sekatan-sekatan yang terdapat dalam Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 yang mengawasi media cetak. Oleh itu, kewujudan portal blog seperti Malaysiakini, Malaysia Today dan lain-lain lagi telah menjadi popular kerana idea-idea alternative yang disebarkan. Malaysiakini berlatarbelakangkan cetusan gelombang Reformasi 1998 dan pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan pertarungan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan gabungan parti-parti pembangkang dalam Barisan Alternatif. Walaupun dalam pilihanraya tersebut, BN masih Berjaya mengekalkan penguasaam n majority dua pertiga di Parlimen dan menguasai semua kerajaan negeri kecuali Kelantan dan Terengganu, peristiwa pemecatan, perbicaaraan dan pemenjaraan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi lonjakan kepada wacana demokrasi dan hak asasi manusia di Malaysia. Malaysiakini bersama beberapa laman web reformasi yang telah diwujudkan terlebih dahulu, telah menjadi saluran pemberitaan dan komentar alternative untuk menyampaikan idea-idea pro-demokrasi dan hak asasi manusia. Walaupun pada awalnya ia merupakan berita portal percuma,namun ia telah memulakan perkhidmatan berbayar bermula pada tahun 2002. Namun begitu, jumlah pembaca semakin meningkat bergantung kepada isu dan peristiwa semasa. Semasa kempen pilihan raya kecil Ijok 2007, Malaysiakini mencatat purata jumlah sebanyak 1.3 juta setiap hari dengan 44,000 muat turun video daripada laman tv internetnya.
Selain Malaysiakini, Malaysia Today yang diasaskan oleh Raja Petra Kamaruddin pada tahun 2004 juga merupakan salah satu portal berita yang menyediakan idea-idea alternative. Berbeza daripada Malaysiakini, Malaysia Today boleh diakses percuma dan lebih bersifat komentar daripada pemberitaan. Ruangannya yang memuatkan tulisan-tulisan Raja Petra sarat dengan kritikan-kritikan terhadap pemerintah, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa. Selain itu, diakui sendiri oleh Raja Petra, laman web tersebut telah digunakan oleh ahli-ahli politik, terutamanya ahli-ahli politik UMNO, untuk melancarkan serangan peribadi terhadap satu sama lain. Malaysia Today juga pernah mencatat jumlah purata lawatan sebanyak 1.7 juta sehari. Walaubagaimanapun, Raja Petra telah diambil tindakan ISA di mana terdapat tulisan beliau yang dianggap memberikan ancaman kepada negara.
Sebenarnya, laman portal berita yang menyediakan idea alternatif ini banyak mempengaruhi masyarakat. Ini dapat dilihat pada pilihan raya umum yang lepas. Kita dapat melihat parti kerajaan kita agak goyah apabila banyak kekalahan yang berlaku. Hal ini sebenarnya menjelaskan, rakyat sudah bersifat terbuka dan tidak hanya menerima ideologi yang disogok oleh pemerintah. Kewujudan teknologi komunikasi atau media baru seperti portal internet berita ini banyak memberikan pandangan baru yang dapat mencelikkan mata rakyat. Teknologi komunikasi yang telah memberi ruang kepada suara-suara pembantahan dalam masyarakat untuk menyuarakan pandangan, sekaligus mempersoalkan ideologi pengabsahan pemerintah dam menyemarakkan amalan demokrasi. Penyiaran tulisan-tulisan berbentuk 'anti-establishment' dalam media baru telah membuka peluang kepada pelbagai kelompok dan kumpulan berkepentingan dalam masyarakat sivil untuk menyuarakan hak mereka dan memastikan kerajaan lebih bersifat responsif terhadap kebajikan mereka. Kesimpulannya, penggunaan teknologi komunikasi banyak memberi pengaruh dan impak kepada masyarakat terutamanya dari sudut penyebaran maklumat dan propaganda dari pihak-pihak tertentu.
No comments:
Post a Comment