Wednesday, 16 November 2011

KEBAIKAN TEKNOLOGI DALAM MENYALURKAN MAKLUMAT

Teknologi dan kehidupan memang tidak dapat dipisahkan, tambahan pula apabila berbicara soal teknologi kepada belia. Sebut sahaja teknologi, golongan inilah yang terlebih dahulu mara ke hadapan membicarakan secara lantang perkara- perkara berkaitan teknologi sehinggakan golongan yang tidak mengikuti perkembangan teknologi terpinga- pinga di buatnya. Apabila kita berbicara mengenai teknologi dalam penyampaian makulumat ataupun dalam keadaan sosial, kita harus sedar bahawa teknologi tidak wujud dalam kekosongan, teknologi ini dihasilkan dengan tujuan tertentu contohnya untuk perniagaan dan kita juga harus sedar bahawa teknologi seringkali dikuasai oleh perbadanan antarabangsa.


Jika diteliti secara mendalam, kebaikan teknologi dalam proses menyalurkan maklumat adalah banyak dan sangat berpengaruh dalam kehidupan seharian. Kita ambil contoh kejadian tsunami yang pernah menggemparkan dunia pada beberapa tahun yang lepas, ia jelas menunjukkan bagaimana teknologi seperti internet dan media penyiaran seperti televisyen berjaya menyebarkan maklumat kepada seluruh dunia mengenai tragedi tersebut. Perkara sebegini memudahkan orang ramai untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku dalam jangkamasa yang cepat dan pantas.

Dari segi pekerjaan pula kita dapat lihat pada satu ketika dahulu semua perkara dilakukan secara manual, pada masa sekarang pula sesuatu pekerjaan itu dapat diselesaikan hanya dihujung jari dengan mudah tanpa memerlukan jangkamasa yang panjang. Ini secara tidak lansung dapat menjimatkan masa dan kos.

Selain itu, globalisasi juga menjadikan dunia semakin rapat antara satu sama lain. Ini dapat dilihat menerusi perkongsian maklumat tanpa mengira halangan geografi dan dunia kini dibangunkan dalam “Global Village” dengan bantuan teknologi yang membolehkan negara- negara kurang maju seperti Bahamas dan negara maju seperti Jepun walaupun berbeza jarak dan budaya, tetapi masih mampu berkongsi idea dan makulumat antara satu sama lain.


Antara kebaikan lain adalah, dengan adanya teknologi semua perkara berkaitan perniagaan dapat dijalankan dan beroperasi selama 24 jam dan 7 hari di seluruh dunia. Perkara sebegini membolehkan urusan perniagaan berjalan tanpa henti. Begitu juga proses jual beli sehingga penghantaran dapat dihantar ke rumah pembeli tanpa perlu keluar dari rumah.

Disamping itu kebaikan teknologi juga dapat dilihat dengan wujudnya peluang pekerjaan yang baru. Seperti kita ketahui, perkembangan teknologi memerlukan individu dan kelompok yang mahir mengendalikan teknologi tersebut, ini secara tidak lansung mewujudkan peluang pekerjaan seperti sistem analis, pentadbir web dan pengendali- pengendali mesin yang mahir.


Kesimpulannya, teknologi memberi banyak impak kepada kebaikan selagi kita pandai menggunakannya secara berhemah. Walaupun teknologi turut mempunyai kesan negatif, tetapi kita tidak dapat menafikan sumbangannya dalam era globalisasi kini.

No comments: